MENU

7 MEI 2017 – Majlis Perbandaran Kulim telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa bertempat di Perkarangan Lobi Pejabat Majlis Perbandaran Kulim. Kehadiran mencecah 500 orang pada malam Majlis Berbuka Puasa mengeratkan ukhwah dan silatulrahim di kalangan anggota MPKK bersama ahli keluarga. Para Jemputan yang turut hadir adalah Ahli-ahli Majlis, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, Rakan-rakan strategik di kalangan Agensi dan juga Jabatan di Daerah Kulim dan yang diraikan bersama 52 orang penerima sumbangan.

Majlis Berbuka puasa yang diadakan merupakan pengisian program dalam Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan merupakan acara tahunan yang diadakan.  Pelbagai menu yang disajikan untuk berbuka antaranya seperti Nasi Minyak, Kurma Daging Kambing, Ayam Goreng Berempah, Bihun Goreng, dan juga Kuih Muih.

Ketibaan tetamu seawal jam 6.00 Petang dimulakan dengan bacaan Tahlil dan penyerahan sumbangan kepada 52 orang golongan yang memerlukan bantuan. Penerima sumbangan ini merupakan penduduk dari Taman Selasih, Taman Seri Pinang, Taman Makmur dan Taman Serai Wangi. Sumbangan yang disampaikan adalah keperluan asas makanan harian seperti beras, tepung, minyak masak dan sebagainya. 

Setelah Berbuka Puasa, para jemputan menunaikan solat Mahgrib secara berjemaah dan seterusnya menghayati Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Al- Fadhil Ustaz Anas Bin Haji Mokhtar sementara menanti masuknya waktu Solat Isyak dan Solat Sunat Terawih secara berjemaah.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua Pengarah Jabatan dan Ahli Jawatankuasa yang bertungkus lumus dalam menjayakan Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Muafakat Kedah 2017 ini.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 10 Ogos 2017 - 3:54pm